Setiap Klik Anda Amat Dihargai


MuTiaRa KaTa

Jom

KISAH PEMUDA BERIBU BAPAKAN BABI

Posted by Asmijan Asmarah Labels:


Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan
Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke
Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa
sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya
yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah
orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah pun menjawab
dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah
mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan
mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan
akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa
orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah
memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah
itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu
di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina
yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?,
kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu
dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik.
Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor
babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan.
Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasihsayang.
Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa
agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam.
"Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi
Musa. "Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu
adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang
besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya.
Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah.
Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari
aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi.
Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.",
sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku
bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar,
tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi. Maka
ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s.'Wahai Musa, inilah
orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang
sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa
babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh
disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah
berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya.
Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan
ke dalam syurga." Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat
menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini
juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga
ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita
mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan
urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagai
mana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga
bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T
supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T. Doa anak yang soleh akan
membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang
dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui
hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya
ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik
di sisi Allah.

0 comments:

Post a Comment